Pages

Tuesday, 28 June 2011

Perutusan Sempena Isra' Mikraj Bersamaan 27 Rejab

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..
SUMBER:
http://fullfilth.blogspot.com

Berikanlah Alasan Itu Kepada Allah

by Hilal Asyraf.

Alasan. Kita suka memberikan alasan. Atas kelalaian kita, atas kecuaian kita, atas kesilapan kita, atas kesalahan kita, atas segala apa yang berlaku dan menghasilkan ketidak senangan, maka kita akan memberikan alasan.

Kenapa fail exam?
Sebab soalan doktor yang susah. Saya dah studi rajin-rajin dah.

Kenapa solat lewat?
Tadi air sejuk sangat. Badan tak tahan.

Kenapa couple?
Nak rapatkan ukhuwwah. Saling kenal mengenal. Tak kenal maka tak cinta.

Kenapa hantar kerja lambat?
Semalam ada urusan penting.

Ya. Banyak alasan kita. Dan dalam banyak perkara, semua ada alasannya yang tersendiri. Manusia yang kita berikan kepadanya alasan, mungkin hanya mampu menarik nafas dan sekadar berpuas hati dengan alasan yang diberikan. Sebab, dia tidak tahu sama ada alasan itu betul atau tidak.

Tetapi, bagaimana dengan Allah?
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Setiap alasan yang hendak kita keluarkan, berikannya dahulu kepada Allah

Kenapa buat berzina?
Sebab si fulanah tu goda aku dulu. Kalau tak, aku tak buat dosa.
Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?

Kenapa meniru dalam peperiksaan?
Tak sempat studi sebab kerja banyak sangat.
Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?

Kenapa qada’ Solat Subuh pagi tadi?
Terlajak tidur.
Tujukan alasan itu kepada Allah. Kemudian kamu fikirkan, apakah Allah akan menerimanya?

Apa pandangan anda? Kalau semua alasan-alasan yang kita rekakan itu, kita bentangkan di hadapan Allah, apakah Allah akan menerimanya?

Ya. Zahir alasan, mungkin menunjukkan kita tidak bersalah. Bagaimana yang tersmebunyi di sebalik alasan itu?

Benarkah terlajak tidur, atau dah bangun kemudian tidur semula? Benarkah tak sempat studi sebab kerja banyak sangat atau selama ini kita yang lewat-lewatkan kerja yang banyak tu sampai tak sempat studi? Benarkah kita berzina sebab digoda, atau selama ini kita yang tak berusaha untuk menahan godaan?

Allah, Maha Mengetahui Segala-galanya, Maha Halus Pemerhatian-Nya.

Allah, takkan terlepas perkara yang kecil-kecil itu, walau tersembunyi jauh di dalam lubuk hati kita.


Melatih diri hidup tanpa alasan jika ingin berjaya

Seseorang itu, hanya akan mampu berdisiplin, berusaha bermati-matian mencapai apa yang dikehendaki, adalah apabila dia meninggalkan alasan dan bergerak mengambil usaha sebagai tangga kejayaaan.

Alasan, hanya melemahkan semangat, jiwa dan hati. Sekali alasan kita diterima, kita akan tergerak untuk memberikan alasan lagi di lain kali.

“Kenapa tak pergi usrah tadi?”
“Ana ada kerja sikit la. Sori la ya”
Sedangkan dia sengaja matikan alarmnya, silentkan hensetnya, dan tidur seakan-akan tiada janji temu untuk usrahnya. Selepas itu, dia akan rasa hendak memberikan alasan lagi. Dia akan tidak hadir usrah lagi. Alasan, menghalang kebaikan.
Alasan juga, mencambahkan kejahatan.

“Ala, takpe kut, sikit je ni. Chatting sekejap aja.” Ya. Chatting sekejap. Tanya khabar saje. Hantar smileys sikit tunjuk mesra. Disokong pula alasan menjaga ukhuwwah.
Akhirnya meleret entah ke mana-mana. Alasan tadi, menghadang kebenaran dosa, lantas menarik diri untuk terus melakukannya. Kali seterusnya tambah lagi sedikit. Kali seterusnya, tambah lagi sedikit. Sampai nanti:

“Ala, dating tak pegang tangan tak apa. Jangan la sentuh-sentuh. Makan sama-sama, studi sama-sama , apa salahnya kalau selagi tak bersentuhan. Kan? Kan? Kan?”

Ya. Sampai ke tahap itu, hati kita tak akan rasa itu satu dosa, apabila alasan melindunginya.

Dan pesanan saya. Berikan alasan itu kepada Allah SWT. Berikan.

Bagaimana agaknya?

Penutup: Syurga bukan untuk orang mengelat 

Ka’ab bin Malik RA tidak menghadiri perang Tabuk. Dia menghadap Rasulullah SAW dan langsung tidak mengemukakan alasan. Lihatlah apa yang dia katakan:

“Ya Rasulullah, jika aku mahu, aku boleh mencipta alasan. Tetapi aku tahu, walau aku terlepas di hadapan kau hari ini, aku tetap tidak akan terlepas di hadapan Allah nanti.”

Lihatlah Ka’ab bin Malik RA ini. Dia telah mempersembahkan alasannya terlebih dahulu kepada Allah, dan dia mengetahui bahawa alasan-alasannya takkan diterima. Lantas dia bergerak jujur dan mengaku akan ketidak hadirannya ke medan perang adalah tanpa sebab yang munasabah.

Lantas Allah mengarahkannya untuk dipulau sebagai denda. Tetapi selepas dia mengharungi dendaan itu dengan tabah, maka Allah menurunkan ayat Al-Quran mengampunkannya. Termasuklah Ka’ab dari kalangan yang termulia antara sahabat Rasulullah.

Tetapi lihatlah pula para munafiq yang tidak pergi juga pada Perang Tabuk itu. Mereka memberikan alasan kepada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan. Cuaca panas, ladang sedang masak ranum dan tiada penjaga, anak isteri tiada pelindung dan sebagainya. Rasulullah diam sahaja tanpa menghukum mereka.

Adakah mereka berjaya mendapat syurga?

Tidak.

Bahkan Allah SWT berfirman mengherdik mereka.
“Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”
Surah At-Taubah ayat 42.

Dan kemudian Allah campakkan mereka ke tahap yang hina. Lebih hina dari orang kafir di dalam neraka.
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” Surah An-Nisa’ ayat 145.

Permudahkan Nikah Cegah Zina

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini ,Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .
An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :
• Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
• Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
• Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
• Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
• Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
• Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
• Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
• Suami
• Isteri
• Wali
• Saksi
• Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :
• Masih menuntut di kolej atau uniersiti
• Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
• Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks ,maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

sumber: u-jam.blogspot.com/

Monday, 27 June 2011

Kembara Seorang Daie Di Bumi Allah

Bismillahirrahmanirrahim .Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Assalamualaikum W.B.T, buat semua teman-teman blogger diruangan siber sekalian. Buat pertama kalinya saya berada di alam siber . Insyaallah ulasan-ulasan artikel ini hanyalah coretan hati dan sebuah catatan dari seorang insan yang dhoif yang baru mahu berjinak-jinak dengan ruangan siber dan dalam bidang penulisan. Hari pertama dalam alam blogger cukup meresahkan kerana dalam dilema dek kerana masih tidak pandai menggunakan blog dan nak karang ayat panjang-panjang ni. Tetapi semua itu ku tolak dek kerana mahu mencari ilmu seluas-luasnya di muka bumi Allah ini. Selain daripada dek terpaksa buat blog atas arahan yang tak dapat ku elakkan.

Pada hari rabu bersamaan 20hb April 2011 menjadi titik tolak bermulanya sebuah pengembaraan dalam dunia blogger. Tetapi dek kesuntukan waktu dan juga beberapa masalah, maka post ini lambat juga untuk diterbangkan kemari. Buat pengetahuan sahabat-sahabat sebenarnya, diri yang dhoif ini sedang melanjutkan pelajaran kini di UKM dalam jurusan pengajian Islam dalam jurusan Syariah Perindangan Islam. Masih jauh perjalananku sebagai seorang kembara ilmu di Bumi UKM. Masih tercari-cari arah sebenar perjalanan seorang mahasiswa. kadang-kala , bermain di benak fikiranku, adalah aku mampu menghadam semua ilmu-ilmu yang telah dicurahkan oleh murabbi-murabbiku disini.Rasa bersalah sering menghantui diri ini, kerna merasakan ku tidak dapat menghadam segala ilmu yang telah dicurahkan. bukanlah 4.0 flet diatas paper yang ku kejarkan. tetapi aku mahu 4.0 flet dari segi ilmu dunia dan akhirat.

Masih banyak perkara yang masih kurang jelas dibenak fikiranku, serta merasakan bahawa semakin hari semakin diri ini merasakan bahawa betapa kerdilnya insan ini sebagai hamba di bumi Allah ini. Bukan apa, kini umurku sudah mula memasuki alam 20an. Terasa diri ini semakin tua, tetapi apakah amalanku juga semakin meningkat dan bertambah seperti usiaku juga. Alangkah sedihnya diri ini sekiranya di padang mahsyar nanti bahawa aku berkira-kira membawa bekalan amalan yang banyak, tetapi rupanya sebaliknya yang berlaku. Adakah ilmu yang ku cari selama ini, benar-benar menuntut diri ini benar-benar kerana Allah S.W.T. Kadang-kala diri ini resah sekiranya ilmu yang ku cari ini semata-mata kerana hub kepada dunia. Malah bukan itu sahaja, makin lupa dan tidak mengamalkan apa yang telah kucari selama ini.

Buat santapan rohani kita semua pembaca dan saya sendiri marilah kita sama-sama membetulkan niat semasa menuntut ilu. Biarlah ianya kerana Allah dan bukannya kerana isi dunia. Ini mengingatkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W, maksudnya: “Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”. (Hadis sahih Bukhori dan sahih muslim.)

Mudah-mudahan adanya blog ini, saya dapat mengembangkan lagi penulisan saya dalam alam maya ini. Disamping dapat memeriahkan suasana ilmu di ruangan blogger ini. Diharapkan dengan adanya santapan rohani ini, sedikit sebanyak saya dapat menyumbangkan karya yang dapat membantu sahabat-sahabat yang selalu mendambakan pencarian ilmu yang tiada noktahnya dalam arena penulisan ini. Wallahu’alam.